Zaman sekarang harta ni boleh bawa kepada pergaduhan adik beradik dan keluarga. Sebab tu dalam Islam, penting nya kita ada pengetahuan dalam pembahagian harta kalau tak di beri mengikut hukum Islam boleh jatuh zalim terhadap orang lain.
Hibah adalah salah satu cara untuk kita mewariskn harta kita semasa masih hidup. Hibah juga ada rukun yang mungkin ada antara kita baru tahu macam ummi juga.hehe Untuk ulasan lebuh jelas ummi paste kan ulasan dari artikel di bawah berkenaa dengan hibah. ;). baca ya untuk menimba Ilmu
Artikel :
guamansyarie.com
Saya percaya mungkin ramai di antara pembaca yang pernah mendengar
tentang hibah. Hakikatnya hibah ini mempunyai banyak kelebihan,
keistimewaan, hikmah serta manfaat kepada kita jika dilaksanakan dengan
betul.
Tahukah anda, hibah bermaksud pemberian hak atau harta secara sukarela
tanpa dipaksa atau terpaksa daripada satu pihak kepada satu pihak yang
lain.
Bahasa mudahnya hibah adalah hadiah daripada pemberi hibah kepada
penerima hibah dengan niat dan tujuan yang baik tanpa sebarang syarat,
imbalan atau balasan.
Ia merupakan pemberian secara suka sama suka dengan syarat di dalam
hibah itu tidak akan ada hak orang lain yang diambil seperti hak mereka
yang dizalimi atau dianiayai.
Menyedari akan kelebihan hibah ini, ia merupakan antara penyelesaian terbaik pengurusan harta dalam Islam.
Sebagai orang Islam, kita haruslah mengetahui lebih mendalam tentang
hibah ini agar keputusan yang dibuat kelak tidak akan menganiaya orang
lain.
Apabila sesuatu harta itu telah dihibahkan ketika pemberi masih hidup, kita tidak berhak mempertikaikannya.
Malah, pemberian hibah ini juga dapat mengelakkan konflik perebutan
harta pusaka yang mungkin berlaku setelah kematian pemberi hibah.
Walaupun ada ketikanya hibah secara lisan, sebagai contoh, si suami
memberitahu isterinya untuk menghibahkan rumahnya kepada si isteri, ia
sebenarnya sudah sah.
Jadi tidak perlu dipertikaikan lagi. Ini bermaksud, apabila harta sudah
dihibah secara sah, tetapi jika ada yang mahu merampasnya maka mereka
yang terbabit itu melakukan dosa.
Perlu diingat, semua harta yang sudah dihibah akan terkeluar daripada
harta pusaka dan tidak akan di agih kepada waris mengikut hukum faraid.
Hibah Harta Dalam Islam
Apakah beza antara hibah dan wasiat?
Hibah dan wasiat merupakan dua instrumen penting dalam pengurusan harta Islam.
Hibah adalah pemberian harta yang berlaku semasa hidup pemberi hibah
manakala wasiat pula adalah pemberian harta yang berlaku selepas
kematian pewasiat.
Hibah tidak akan berlaku sekiranya si pemberi hibah hanya sekadar
berhasrat atau berura-ura sahaja tetapi dengan takdir Allah S.W.T., si
pemberi hibah meninggal dunia tanpa diduga.
Maka dengan itu hibah tidak akan berlaku kerana hukumnya telah berubah daripada hibah kepada wasiat.
Hibah dan wasiat ini amat digalakkan dalam Islam di mana sekiranya ia
dilakukan dengan betul dan selaras dengan kehendak syarak, pertikaian
dan perebutan harta dalam di elakkan.
Hibah pada istilah syarak ialah suatu akad yang mengandungi pemberian
milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang
yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan dengan menggunakan lafaz ijab
dan qabul atau seumpamanya.
Pemberian secara hibah bukan bertujuan untuk mengharapkan pahala dan bukan bertujuan untuk memuliakannya.
Perlu di ingat bahawa hibah hanya akan berlaku ketika seseorang pemberi
hibah dan juga penerima hibah itu masih hidup ketika proses pelaksanaan
pemberian dilakukan.
Pemberian hibah ini lebih kepada pemberian yang berbentuk kasih sayang.
Hibah Harta Dalam Islam
Dalam Islam, hibah adalah salah satu cara pemilikan harta yang sah di
sisi syarak. Hibah ini masih berkait rapat dengan konsep pemilikan harta
yang lain seperti wasiat, wakaf dan faraid.
Namun sudah tentu hukum dan ciri-ciri konsep hibah berbeza dengan yang
lain. Mengikut istilah syarak, hibah merupakan akad pemberian harta yang
dilakukan oleh pemberi hibah kepada penerima hibah ketika hidupnya
tanpa sebarang balasan ('iwad).
Hibah dalam Islam merupakan amalan sunat dan amat digalakkan. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
"Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada mas
kahwin itu dengan senang hati, makanlah (ambillah) pemberian itu
(sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya"
Surah al-Nisa' ayat 4
"...dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak
yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan
orang-orang yang meminta-minta dan (memerdekakan) hamba sahaya"
Surah al-Baqarah ayat 177
Selain daripada itu, terdapat juga dalil dalam Al-Quran tentang
pelaksanaan hibah yang disebut dalam hadis Rasullulah S.A.W. Saidatina
Aisyah berkata yang bermaksud:
"Nabi Muhammad S.A.W menerima dan membalas hadiah"
Hadis riwayat at-Tirmizi
Apakah Rukun Hibah?
Rukun hibah ada 4 iaitu :
1. Pemberi hibah (al-wahib)
Pemberi hibah perlu seorang ahliyyah yang sempurna akal, baligh dan rusyd.
Mereka juga mestilah memiliki harta yang dihibahkan dan berkuasa penuh ke atas hartanya.
2. Penerima hibah (al-mawhub lahu)
Penerima hibah mestilah mempunyai keupayaan untuk memiliki harta sama ada mukalaf atau bukan mukalaf.
Sekiranya penerima hibah adalah bukan mukalaf seperti belum akil baligh
atau kurang upaya, maka hibah boleh diberikan kepada walinya atau
pemegang amanah.
3. Harta yang dihibahkan (al-mawhub)
Harta yang hendak dihibahkan itu mestilah harta yang halal, bernilai di
sisi syarak, di bawah pemilikan pemberi hibah, mampu diserahkan kepada
penerima hibah dan wujud ketika harta berkenaan dihibahkan.
4. Lafaz ijab dan kabul (sighah)
Lafaz ijab dan kabul merupakan lafaz atau perbuatan yang membawa makna pemberian dan penerimaan hibah.
Pemberian hibah harta dalam Islam
Apakah kelebihan pemberian hibah?
Setiap apa yang digalakkan dalam Islam sudah semestinya mempunyai pelbagai kelebihan.
Kelebihan hibah paling utama adalah memudahkan proses pengurusan harta
pusaka. Selain itu, berikut merupakan antara kelebihan lain pemberian
hibah:
- Pemberian harta secara hibah boleh memupuk perasaan kasih sayang dan
mengeratkan hubungan silaturahim. Pemberi hibah boleh memberikan
hartanya kepada sesiapa sahaja terutama mereka yang rapat seperti suami,
isteri, anak, ibubapa, anak angkat dan lain-lain bagi menzahirkan kasih
sayang antara mereka.
- Penerima hibah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja. Ia berbeza
dengan sistem faraid yang memberikan hak hanya kepada ahli waris-waris
tertentu, manakala wasiat mengecualikan waris sebagai penerima wasiat.
Selain itu, hibah juga boleh diberikan kepada bukan Islam bagi tujuan
mengeratkan hubugan silaturahim dan bukan untuk tujuan maksiat.
- Kadar pemberian hibah adalah tidak terhad kepada jumlah tertentu. Ia
berbeza dengan konsep wasiat iaitu harta yang diwasiatkan tidak boleh
melebihi satu pertiga daripada harta pusaka bersih dan faraid mengikut
kadar-kadar tertentu seperti yang diturunkan di dalam al-Quran. Pemberi
hibah bebas menentukan kadar atau bahagian harta yang hendak dihibahkan
dengan memberi pertimbangan kepada keperluan hidup dan kehendak semasa
menerima hibah.
- Pemberi hibah boleh menentukan sendiri kepada siapa harta dan jumlah
yang hendak diagihkan dengan mengambil kira kesesuaiannya dari segi
kedudukan ekonomi dan keperluan semasa waris-warisnya. Hal ini kerana,
kebiasaannya keperluan seseorang individu dengan individu yang lain
adalah berbeza.
- Pemanfaatan harta boleh dilakukan secara terus dan semaksimum
mungkin. Instrumen hibah ini boleh menangani masalah ini dengan baik di
mana harta yang dihibahkan boleh terus dimanfaatkan oleh penerima hibah
ketika pemberi hibah masih hidup.
Setelah memahami konsep hibah ini, ia boleh dianggap sebagai pelengkap kepada sistem pengagihan harta dalam Islam.
Konsep hibah amat sesuai diamalkan oleh masyarakat dewasa ini, terutama
untuk mengagihkan harta kepada pihak-pihak yang tidak berkemampuan tanpa
mengehadkan kepada kadar dan golongan tertentu.
Apa yang paling penting dalam hibah ialah keikhlasan kerana ia
memberikan sesuatu kepada orang lain pada waktu masih hidup tanpa
meminta balasan.